KECOH! Lebih 400 Jemaah Haji Visa Furada Terkandas Di KLIA

SEPANG: Dikhabarkan terdapat kira-kira 400 jemaah Haji yang dilaporkan tidak dapat meneruskan penerbangan mereka ke Jeddah pada malam semalam. Hal ini lantaran para jemaah tersebut menjadi mangsa penipuan Visa Furada oleh sebuah syarikat travel agency swasta yang menawarkan perkhidmatan haji yang murah berbanding yang ditawarkan oleh Lembaga Tabung Haji.

Menurut salah seorang jemaah haji, ada di antara mereka yang daripada negeri lain telah tiba sejak 28 Jun lalu, dan ada daripada mereka difahamkan telah menggunakan duit simpanan EPF bagi menunaikan rukun islam yang kelima tersebut.

Sebanyak 17 laporan polis telah diterima setakat pukul 4:30 pagi, dan Ketua Polis Daerah KLIA telah menyatakan bahawa suspek yang terbabit akan dipanggil untuk memberikan keterangan berkenaan kes penipuan jemaah Haji ini.

Menurut salah seorang jemaah haji, pasportnya dan jemaah lain masih lagi dipegang oleh syarikat agensi pelancongan berkenaan.

“Kami semua dah redha. Kami memang dah tahu dah. Penerbangan terakhir jam 2.00 pagi ini mungkin tidak akan sampai ke Jeddah dan boleh masuk. Memang amat mustahil. Setakat ini sahaja perjalanan kami.

“Saya cuma nak beritahu kepada individu ‘Tan Sri’ tadi, tolong lah sedar dan jangan mempermainkan agama, jangan terlalu perkotak katikkan perasaan orang yang nak menunaikan ibadah haji.

“Majoriti kami ni bukan orang senang. Bukan senang kami nak lalui benda ni. Kami faham mungkin nama kami tidak dipanggil Allah, kami redha. Tolong jangan buat macam ni, terutama kepada orang kampung yang susah payah macam kami ni,” tegasnya lagi.