Harga Siling Baru Ayam & Telur Ayam Berkuatkuasa 1 Julai 2022

Melalui satu sidang media khas yang telah dilakukan pada 24 Jun lepas, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan keputusan pihak kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tarif air dan elektrik di Semenanjung manakala bagi harga ayam di pasaran pula tidak akan diapungkan demi untuk memastikan bahawa rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang dilihat semakin hari semakin meningkat.

Untuk makluman, keputusan ini dilakukan setelah mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

Berikut adalah merupakan penetapan harga siling ayam dan telur ayam yang akan mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2022.

HARGA SILING BAGI AYAM & TELUR AYAM

Pihak kerajaan telah sebulat suara mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya mereka akan meneruskan subsidi serta menetapkan harga siling runcit untuk semenanjung Malaysia seperti yang berikut:

1) AYAM

  • Pada 29 Jun pihak kabinet telah menetapkan bahawa pemberian subsidi akan diteruskan dengan harga siling runcit baru bagi ayam iaitu RM9.40 sekilogram bagi kawasan Semenanjung Malaysia.

2) TELUR AYAM (GRED A, B & C)

  • Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga merupakan Menteri Pertanian & Industri Makanan turut mengatakan bahawa pihak Jemaah Menteri juga telah pun bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit bagi telur ayam gred A (RM0.45 sen sebiji), gred B (RM0.43 sen sebiji) dan gred C (RM0.41 sen sebiji) bagi kawasan Semenanjung Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, penentuan bagi harga maksimum ayam dan juga telur ayam berkuatkuasa bermula dari 1 Julai sehingga 31 Ogos 2022.