PM bangga rakyat pelbagai etnik di Sabah dapat duduk semeja

KOTA KINABALU: Perdana Menteri berkata beliau bangga melihat kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata keterbukaan itu adalah gambaran semangat sebenar Keluarga Malaysia yang mahu ditekankan kerajaan pimpinannya.

“Bak kata pepatah orang Kadazan, ‘Osusa Toi Asanang Tomoimo Miiso’ yang bermaksud susah atau senang, suka dan duka kita tetap bersama dan bersatu dalam satu Keluarga Malaysia. Inilah harapan besar saya,” katanya ketika melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sabah, di sini, hari ini.

Ini adalah lawatan kerjanya yang keempat ke Sabah sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.

Selain itu, beliau berkata sifat keterbukaan rakyat Sabah yang diwarisi sejak zaman berzaman juga terbukti dipegang teguh dalam memupuk keharmonian hidup masyarakat di negeri ini.

“Pelbagai perbezaan yang ada mewarnai kehidupan mereka sehingga mampu membentuk sebuah keluarga besar yang cekal mengharungi serba serbi liku cabaran bersama,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa berperanan sebagai anggota keluarga amat positif dalam memenuhi segala perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sepatutnya diperoleh oleh rakyat Sabah.

“Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Peringkat Persekutuan dibentuk dan dipengerusikan saya sendiri selaku Perdana Menteri dan turut disertai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, bagi membincangkan pelbagai perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi MA63.

“Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita berharap agar sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dibincang dan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/957436/pm-bangga-rakyat-pelbagai-etnik-di-sabah-dapat-duduk-semeja