Rumah PPR 2024 : Cara Mohon & Syarat Kelayakan

Rumah PPR atau lebih dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat adalah merupakan sebuah program untuk penempatan semula golongan setinggan serta memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan yang tidak berkemampuan ataupun berpendapatan rendah.

Sebagai agensi pelaksana utama untuk projek-projek PPR di seluruh Malaysia, Jabatan Perumahan Negara berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Program PPR akan memastikan semua rumah yang dibina mengikut spesifikasi perancangan dan rekabentuk yang sesuai untuk perumahan kos rendah. Spesifikasi ini adalah berdasarkan Standard Perumahan Kebangsaan bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa (CIS2) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Berikut dikongsikan maklumat terperinci dan cara untuk melakukan permohonan.

Rumah PPR 2024

Untuk makluman anda, terdapat dua kategori dalam Program Perumahan Rakyat (PPR):

PPR Disewa

  • Bayaran RM124 sebulan

PPR Dimiliki

  • RM35,000 seunit (Semenanjung Malaysia)
  • RM42,000 seunit (Sabah dan Sarawak)

Rekabentuk & Ciri-Ciri Rumah PPR

Berikut adalah merupakan rekabentuk dan ciri-ciri Rumah PPR:

  • Kawasan bandar-bandar besar: Jenis rumah bertingkat antara 6 hingga 18 tingkat
  • Kawasan pinggir bandar: Jenis rumah teres
  • Keluasan: 3 Bilik Tidur, 1 Ruang Tamu, 1 Ruang Dapur, 2 Bilik Air
  • Kemudahan Asas: Dewan Komuniti / Ruang Orang Ramai, Surau / Ruang Solat, Gerai Makan / Ruang Niaga, Tadika, Kemudahan OKU, Taman Permainan / Kawasan Lapang, Rumah Sampah

Syarat Kelayakan Permohonan Rumah PPR 2024

Untuk memohon Rumah PPR, anda perlu memenuhi syarat kelayakan berikut:

  • Pemohon dan pasangan mestilah Warganegara Malaysia
  • Pemohon berumur 18 tahun dan ke atas
  • Pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan
  • Pemohon dan pasangan tidak pernah memiliki rumah
  • Mengikut syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri

Rumah PPR

Baca Juga:

Cara Membuat Permohonan Program Perumahan Rakyat

Kerajaan Negeri/Lembaga Perumahan Negeri/Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan bertanggungjawab untuk melaksanakan dan mengisi permohonan.

Untuk mendapatkan maklumat secara manual, pemohon-pemohon boleh menghubungi Bahagian Perancangan & Pembangunan Projek PPR setiap negeri melalui laman web KPKT.

Bagi permohonan secara online, pemohon boleh memohon Rumah PPR melalui Sistem Pengurusan Perumahan Negara (SPRN) pada portal TEDUH di https://teduh.kpkt.gov.my

Cara Daftar Melalui Portal TEDUH

1. Daftar Portal Teduh

  • Layari Portal TEDUH https://teduh.kpkt.gov.my/
  • Pemohon perlu mendaftar akaun sebelum log masuk ke SPRN
  • Lengkapkan butiran diri untuk proses pendaftaran.

2. Aktifkan Akaun & Log Masuk

  • Setelah berjaya mendaftar, semak e-mel dan klik pautan yang diberi untuk pengaktifan akaun.
  • Klik pada ‘Log Masuk Pemohon’ menggunakan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang telah ditetapkan tadi.

3. Pilih Skim

  • Untuk setiap skim yang ingin dipohon, sila pastikan anda memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.
  • Terdapat maklumat senarai projek yang dibuka untuk permohonan pada bahagian kanan pilihan skim.
  • Ini bagi memudahkan pemohon mengenalpasti projek yang dibuka untuk permohonan.
  • Seterusnya, klik butang ‘Pilih Skim’ sama ada ingin memohon PPR Disewa atau PPR Dimiliki.

Nota:

Anda juga boleh memohon Program Rumah Transit secara online melalui Portal TEDUH.

Tujuan Program Rumah Transit adalah untuk menyediakan tempat tinggal sementara kepada pasangan muda yang berusia antara 18 hingga 30 tahun dan sudah berkahwin.

Tujuan program ini adalah untuk membantu pasangan muda yang berpendapatan rendah / berkelayakan yang tinggal di bandar-bandar besar dengan menawarkan bantuan kewangan dan perumahan. Program ini diharapkan dapat mengatasi masalah kemiskinan bandar dan meningkatkan kualiti hidup golongan ini.

Rumah ini disewakan dengan kadar sebanyak RM250.00 sebulan bagi tempoh sewaan permulaan selama dua (2) tahun.

Penyewa akan diberikan notis enam (6) bulan sebelum tamat tempoh kontrak bagi tujuan pengosongan rumah.

4. Masukkan Maklumat Pemohon

  • Masukkan Maklumat pemohon, Maklumat Pendapatan, Maklumat Pasangan, dan Maklumat Tanggungan yang diperlukan seperti di paparan.
  • Setelah lengkap, klik butang ‘Simpan’.

5. Pilih Projek

  • Klik pautan ‘Projek’ untuk memohon projek.’
  • Klik ikon projek yang dipapar atau menggunakan carian projek menggunakan nama projek dan negeri.
  • Klik butang “Mohon Unit Ini” untuk memohon unit PPR di dalam projek tersebut.
  • Klik butang “Ya” untuk meneruskan proses dan butang “Tidak” untuk membatalkan proses pengesahan.

6. Muatnaik Dokumen Sokongan

  • Muatnaik Dokumen Sokongan seperti yang dipaparkan mengikut keperluan.
  • Muat naik dokumen di dalam format hanya PDF dan saiz dokumen tidak melebihi 3MB.

7. Pengesahan & Hantar

  • Tandakan pengesahan maklumat permohonan dan klik butang “Sah & Hantar Permohonan” untuk menghantar permohonan.
  • Rujuk manual penuh oleh SPRN – DI SINI.

Rumah PPR

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan berkaitan permohonan Rumah PPR, sila hubungi nombor-nombor berikut:

Skim PPR

  • 03-8891 4052 (Selangor, Melaka, Johor, Negeri Sembilan)
  • 03-8891 4278 (Kuala Lumput, Sabah, Sarawak)
  • 03-8891 4028 (Perak, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Terengganu)

Teknikal / Masalah Sistem

  • Telefon: 03-8891 4475
  • Emel: teduh@kpkt.gov.my

Bahagian Pemantauan Perumahan Swasta

  • Telefon: 03-8891 4200